KISAH yang dipaparkan minggu ini baik untuk kita baca dan cermin diri sendiri. Apakah benar pendapat mengatakan bahawa `Wanita adalah musuh besar kaum wanita sendiri’. Sebab terdapat sesetengah wanita yang suka menggoda suami kaum sejenisnya lantas menghancurkan masa depan mahupun kehidupan keluarga wanita itu sendiri.
Demikian menurut e-mel yang dihantar oleh Ros kepada penulis dua kali selepas surat yang dihantar dari seberang laut tidak sampai ke tangan penulis. Dan ketika kami berbual tiga kali melalui telefon Ros memberitahu dia sudah lama berhasrat menghubungi penulis tetapi keadaan tidak mengizinkan. Cuma baru-baru ini apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi beliau berusaha hingga berjaya menghubungi penulis minggu lalu.
Untuk pengetahuan pembaca, Ros kini tidak lagi tinggal di Malaysia, setelah bersara awal dari perkhidmatan kerajaan sejak dua tahun lalu, beliau mengikut suaminya yang tinggal di seberang laut, sebab itulah beliau merasa sukar mencari penulis awalnya. Tetapi akhirnya berjaya menghantar e-mel dan kami sempat berbual panjang.
Menurut Ros walaupun masalah yang dihadapinya masalah biasa, tetapi sebagai wanita dan isteri yang terlalu sayangkan rumah tangganya, beliau ingin menyelamatkan perkawinannya dari menghadapi keruntuhan dan beliau berharap wanita yang mengganggu hidupnya itu membaca kisah ini dan insaflah bahawa perbuatannya bukan sahaja salah, malah berdosa besar.
“Tujuan saya memaparkan masaalah hidup yang saya hadapi ini bukan untuk mencerca, sebaliknya mengharapkan wanita tersebut cepat berubah, jangan lagi mengganggu suami saya, sebaliknya layani dan sayangilah suami anda dengan baik.
“Seperkara lagi tolonglah jangan menghasut anak-anak anda membenci saya dan bertindak keterlaluan merosakkan rumah yang saya tinggalkan itu begitu juga pada jiran-jiran jangan terus berbohong untuk menegakkan benang basah, di samping menyembunyikan perbuatan keji yang dilakukannya selama ini.
“Sebenarnya masalah saya ini bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah hampir 10 tahun saya berkahwin dengan seorang warga negara asing bernama Zaky yang kebetulan ketika itu berkhidmat beberapa tahun di negara ini.
“Perkahwinan kami melalui perkenalan oleh seorang kawan baik. Ketika itu Zaky seorang duda. Bekas isterinya sudah pulang ke negara asalnya. Sementara anak-anak tinggal di rumah beliau di negaranya kerana masih menuntut.
“Setelah tamat perkhidmatan Zaky kembali ke negaranya. Tinggallah saya sendirian. Sebulan atau dua minggu sekali beliau akan datang menemui saya di utara Malaysia. Di situlah bermulalah segala-galanya. Kerana setelah berhenti kerja dia sering berada di rumah dia berbaik-baik dengan jiran tetangga. Tetapi jiran sebelah rumah kami yang seorang ini, Masni namanya lain sikit, sikap dan perbuatan beliau berbeza sekali.
“Sebagai contoh dia hanya berbual dan berkawan baik dengan Zaky tidak dengan saya, bila nampak saya balik kerja, dia terus masuk ke dalam rumah dan tidak mahu menegur saya. Kalau saya tegur pun dia tak jawab. Memang sombong sejak dulu lagi, kami yang tinggal setaman dah lama kenal perangai beliau, sebab dia merasakan dirinya orang berada, kaya, ayahnya orang ternama, dan suaminya ada kilang sendiri. Dan kelebihannya dia cantik, jadi kami jiran setaman tak layak dibuat kawan. Bukan dengan saya saja dengan semua jiran itulah peranginya, semuanya kerana kedudukan taraf keluarganya orang kaya.
“Kerana baik suka berbual dengan Zaky, beliau sering mengajak Zaky makan dan minum petang di rumahnya. Semua itu tidak menjadi masalah kalau suami beliau ada bersama. Tapi masalahnya, suaminya sakit stroke dan terlentang tak boleh bangun dibiarkan di bilik atas rumah banglonya. Sementara 3 orang anaknya tidak tinggal bersamanya kerana seorang sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak, dua orang lagi menuntut di IPTA.
“Jadi pada siang hari mudahlah mereka berbual dan bertandang kerana tidak ada siapa yang menegur dan menghalang perbuatan mereka. Tambahan rumah banglonya siapa berani masuk. Mulanya saya tidak ambil pusing, sebab saya bekerja tentulah Zaky memerlukan teman berbual. Tetapi layanan Masni kepada Zaky lain sikit.
“Hubungan sulit mereka terbongkar apabila satu hari Zaky yang sudah tidak tahan menyimpan rahsia melahirkan resahnya sambil berkata, adalah tidak adil bagi suami Masni tidak ceraikan isterinya, sedangkan dia tidak boleh berfungsi sebagai suami lagi. Bila saya tanya pada Zaky apa maksudnya, katanya dia kesian dengan Masni menderita sudah beberapa tahun tidak mendapat layanan batin yang sepatutnya diperolehi orang seorang wanita kerana suaminya stroke.
“Rasa kasihan yang agak pelik ini membuat saya bertanya kembali bagaimana dia tahu perasaan Masni, katanya Masni selalu bercerita memberitahu masalah batinnya kerana penyakit suaminya. Kemudian saya tanya kembali kepada Zaky apa perasaannya kalau ditadirkan dia kena stroke patutkah saya minta cerai? Sudah tentu dia kecil hati. Kata saya adalah menjadi tanggungjawab isteri menjaga suami yang sakit, bukan saja semasa sihat dan senangnya sahaja. Bukankah perkahwinan ini mengharapkan kesetiaan hingga ke akhir hayat dan sama-sama susah dan sama senang. Zaky terdiam, tetapi saya tahu dia tetap runsing kerana masalah Masni.
“Tetapi peliknya Masni tidak pernah menceritakan masalahnya pada saya, malah kalau saya tegur pun dia tidak menjawab. Saya hairan mengapa dia lebih percaya dan dekat sekali dengan Zaky? Pada mulanya saya percayakan Zaky kerana dia memang alim orangnya. Tetapi perbuatannya suka bertandang ke rumah Masni membuatkan saya jadi curiga
“Untuk memastikan dia di rumah saya sering telefon Zaky waktu pagi dan petang, memang Zaky tak menjawab telefon, bila saya tanya, katanya dia ada di rumah dan tak dengar bunyi telefon. Memang pelik. Jadi ke mana dia pergi lagi kalau tidak ke rumah Masni.
“Isteri manakah yang dapat menutup mata, hati dan perasaan terhadap tingkah laku suami yang kian berubah? Walaupun dia sering berang kalau saya tanya tentang hubungannya dengan Masni, namun saya tetap bertanya. Dan dia menafikan ada buat hubungan dengan Masni.
“Kerana Zaky lekas baran, saya pergi jumpa Masni satu hari dengan harapan dia sedar perbuatan kejinya itu dan menghentikan. Tetapi Masni menafikan hubungannya dan dia tidak mahu bersumpah dengan Al Quraan. Bila saya katakan perbuatannya berdua-duaan dengan suami saya bukan mahramnya itu berdosa dia memberitahu, dia cuma berbincang dan hanya meminta nasihat dengan Zaky. Kalau nak bincang mengapa tak tanya saya atau kadi mengapa minta nasihat orang lelaki, dan mengapa dia suka melarikan diri setiap kali saya balik kerja atau ketika bersua muka dan mengapa dia tidak menjawab bila saya tegur. Dia membisu tidak menjawab.
“Sebagai usaha untuk meredekan keadaan, saya minta Zaky tidak datang ke Malaysia tetapi saya akan menemuinya, walaupun itu bermakna saya akan menghabiskan wang ribuan ringgit dan cuti kerana berulang alik ke negerinya tetapi saya rela demi menyelamatkan rumahtangga saya.
“Malangnya tindakan saya itu juga tidak berjaya kerana mereka masih berhubung secara sulit melalui telefon, internet dan berjumpa. Sebagai contoh, ketika anak-anaknya cuti semester dan saya ada di Malaysia kerana bekerja, saya lihat Masni tidak ada di rumah, kata anak-anaknya ibunya pergi rumah datuk. Dan logikkah alasan Masni bertandang ke rumah besan, sedangkan anak menantunya disuruh jaga suaminya di rumah. Tindakannya menimbulkan prasangka mungkinkah dia menemui suami saya di luar negara?
“Pada zaman syarikat penerbangan MAS mempunyai penerbangan terus 2, 3 kali seminggu ke negara suami saya memang mudah untuk Masni ke sana walaupun untuk 2,3 hari bagi melepaskan rindunya, maklum dia ada anak orang kaya dan duit bukan masalah.
“Sebenarnya saya tak sangka niat baik saya mengizin dan membenarkan Zaky pergi menjengok suami Masni yang sakit stroke ke rumahnya pada mulanya dulu telah membawa padah kepada hubungan kami suami isteri.
“Saya benar-benar tidak menyangka Masni sanggup membelakangkan suaminya yang sakit bercinta dengan suami saya. Sedangkan suaminya memberikan segala-galanya kepadanya. Depan suami saya Masni sanggup mengutuk dan memanggil suaminya dayus kerana tidak menceraikannya. Sedangkan dia tidak pernah minta cerai.
“Masni bukan muda lagi, usianya sudah menjangkau 50an tahun dan sudah ada cucu, tetapi sanggup menduakan suaminya. Untuk menutup perbuatan maksiatnya, beliau bertindak memburukkan saya pada jiran-jiran dan anak-anaknya. Kalau dulu dia tak suka berbaik dengan jiran, tetapi sejak saya bercerita dengan jiran baik saya tentang perbuatannya yang kurang manis itu beliau telah berbaik dengan jiran lain menafikan cerita saya sambil memburuk-burukkan saya pula.
“Akibatnya saya dipandang serong oleh jiran-jiran kerana pada sangkaan mereka takkanlah wanita yang kaya, cantik, dari keluarga berada itu sanggup bertindak serong dan buat maksiat di belakang suaminya. Dan anak-anaknya yang masih menuntut di IPTA itu, pula dihasut memusuhi saya, hingga mereka sanggup merosakkan pokok-pokok tanaman saya. Mereka bukan setakat potong dan gunting pokok pagar saya, malah meracunnya sampai pokok-pokok itu mati.
“Kalaulah jiran-jiran saya itu boleh merenung sejenak, apakah perasaan mereka jika suami mereka digoda oleh jiran tentu mereka faham perasaan saya. Jangan sangka wanita kaya, cantik, anak orang kaya serta lembut, pijak semut tak mati itu baik dan tak pandai goda suami orang.
“Namun ada juga jiran yang percaya dan mula menjauhkan diri dari saya, kerana Masni bercerita konon saya dah gila suka cakap sendirian. Sebenarnya saya bukan cakap sendirian, saya cuba bercakap dengan Masni kenapa dia biarkan anaknya gunting dan racun pokok pagar saya.
“Saya juga bercakap nasihatkan Masni supaya jangan goda suami saya lagi dengan mempamerkan tubuhnya dengan berpakaian malam yang tipis di belakang rumah, supaya Zaky dapat melihatnya dari rumah kami. Dia dah lama buat hal ni, satu hari dia terperangkap apabila saya yang keluar di pintu belakang bukan Zaky, kelang-kabut dia melarikan diri ke dalam rumah.
“Kerana termalu sebab itulah dia hasut anak-anaknya racun pokok pagar saya sampai mati, supaya dia boleh buat free show untuk suami saya. Sebenarnya saya cuba jumpa dia secara empat mata tetapi dia mengelak enggan jumpa saya.
“Saya tak buat fitnah tanpa bukti. Saya pernah perangkap suami saya dengan Masni balik rumah dari pejabat lebih awal dari biasa. Puas saya ketuk pintu Zaky lambat buka. Bila saya pergi jengok ke belakang rumah saya nampak kelibat Masni berlari balik ke rumahnya. Itu bukan bukti? Sebab itu jugalah dia racun pokok pagar saya supaya dia senang berulang alik ke rumah saya ikut pintu belakang. Tapi sekarang saya tutup laluan itu dengan awning biar buruk supaya hati saya senang dan dia tak dapat buat free show lagi.
“Zaky juga menyimpan gambar Masni dalam komputernya, bila saya cuba dekat dia padamkan komputer. Tapi saya tak boleh nasihatkan Zaky dia bukan setakat menafikan, tetapi cepat baran dan naik angin marahkan saya. Kerana tak mahu masalah pukul memukul terjadi baik saya diam.
“Saya juga jumpa bukti Masni datang ke rumah Zaky di sini (di luar negara) setiap kali saya balik ke Malaysia. Saya nampak butiran batu manik tudung yang berkilat di atas kapet dan katil, sedangkan saya tidak ada tudung dan baju berbatu manik seumpama itu. Lagi pun Zaky tidak suka. Hanya Masni yang suka pakai tudung dan baju berbatu manik seperti itu. Dan rumah kami tidak pernah dikunjungi oleh orang Malaysia jadi siapa lagi yang datang ke rumah ini kalau bukan Masni. Dia sanggup tinggalkan suaminya yang sakit demi Zaky biarpun jauh beribu batu.
“Kalau anak-anaknya pandai mereka boleh perangkap ke mana sebenarnya ibu mereka pergi. Setiap kali ibunya mendakwa pergi ke rumah datuk, mereka boleh pergi cari atau telefon bertanya apakah cerita ibunya benar atau tidak. Jangan main percaya aja. Tapi Masni memang pandai dia yang sering telefon anak-anaknya konon bertanyakan suaminya supaya dia tidak dicari.
“Satu lagi bukti, pernah terjadi satu hari saya ajak Zaky singgah membeli-belah di sebuah komplek yang baru di buka. Zaky berkata berapa kali lagi saya nak pergi ke kompleks itu. Sedangkan saya tak pernah pergi, bila saya beritahu Zaky saya tak pernah pergi dan dengan siapa dia pergi, Zaky tergamam kerana terperangkap bahawa dia pernah pergi dengan Masni.
“Saya telah berkorban berhenti kerja lebih awal mengikut Zaky balik ke negeranya demi kebahagiaan kami, tapi nampaknya sia-sia, mereka tetap berhubung. Namun saya berdoa satu hari nanti Masni akan merasa akibatnya. Apa perasaannya kalau menantunya curang dan menggoda suami orang. Kerana saya yakin setiap perbuatan kita sama ada baik atau buruk akan ada pembalasannya dari Allah. Dan fikirlan juga apa hukumnya kalau menduakan suami terutama suami yang sedang sakit. Bertaubatlah Masni.’’
Demikian cerita Ros panjang lebar tentang masalahnya. Katanya dia tujukan ceritanya ini kepada Masni supaya hentikan perbuatan terkutuk itu. Ketika berbual Ros berkata dia selalu dengar konon orang di bandar besar seperti KL saja yang buat kelakuan terkutuk dan ada skandal seperti itu. Dia tak sangka wanita yang tinggal di bandar kecil pun tak kurang hebat skandal mereka.
Inilah dunia, dan inilah yang dinamakan manusia. Yang membezakan sikap manusia antara satu sama lain cuma akal, jika akal tidak digunakan dengan baik, tanpa disokong dengan didikan agama semua perkara buruk boleh berlaku. Tak kira di mana mereka berada. Semoga doa Ros agar rumah tangganya kembali aman dimakbulkan Allah jua.
Difailkan dalam: Kisah Dan Tauladan


