BILA bercakap soal kencing manis, perkara utama yang ditekankan
berulang-ulang semua pakar perubatan ialah menjaga pemakanan. Bukan
setakat pengambilan gula, malah semuanya perlu dikurangkan terutama
makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula asli termasuklah buah-
buahan.
Malah ada pakar pemakanan menyifatkan buah- buahan tempatan adalah
ancaman utama kepada pemakanan pesakit kencing manis kerana yang
lebih ranum, lebih enak rasanya dan semakin tinggi pula kandungan
gulanya.
Pada pesakit kencing manis mengawal paras gula dalam darah supaya
berada dalam julat sihat bukanlah mudah. Ia memerlukan disiplin dan
kesungguhan. Bukan paras gula saja yang hendak dikawal tetapi perlu
juga memberi tumpuan kepada tahap kolesterol dan tekanan darah.
Kebimbangan ini menyebabkan ada sesetengah pesakit menjadi terlalu
berhati-hati sehingga timbul masalah kekurangan zat atau mereka
terdorong mengamalkan pemakanan yang tidak sihat. Kajian Universiti
Toronto yang disiarkan dalam jurnal Penyelidikan Nutrisi mendapati
pesakit kencing manis boleh mengalami gangguan ingatan jika
mengamalkan pemakanan tidak sihat terutama tinggi kandungan lemak.
Kajian mendapati selepas satu setengah jam memakan makanan banyak
lemak, kebolehan pesakit untuk mengingat perkataan merosot berbanding
pesakit yang hanya minum air saja. Pada masa sama apabila pesakit
diberikan makanan banyak lemak berserta vitamin C (lebih 1,000
miligram) dan vitamin E (800 IU), didapati prestasi ingatan pesakit
sama seperti pesakit yang minum air saja.
Ini menunjukkan bahawa kesan kemerosotan ingatan akibat pemakanan
kurang sihat dan tidak seimbang boleh diatasi dengan pengambilan
makanan antioksidan seperti vitamin C dan E yang banyak terkandung
dalam buah- buahan serta sayur-sayuran.
Walaupun pil vitamin boleh memberikan manfaat yang sama tetapi
menurut penyelidik kajian berkenaan, Michael Herman Chui, lebih baik
jika pesakit dapat mengambil sumber antioksidan segar kerana ia turut
mengandungi pelbagai khasiat lain.
Namun apa yang lebih kerap terjadi di kalangan pesakit dan penduduk
di negara kita ialah masalah terlebih makan, kata Perunding
Endokrinologi, Dr Faridah Ismail. Pengurangan makan (terutama makanan
manis) bukan hanya untuk pesakit saja tetapi ia perlu membabitkan
seisi keluarga.
Kajian tempatan menunjukkan secara purata rakyat Malaysia mengambil
125 gram gula atau 25 camca teh gula sehari berbanding kadar yang
disarankan iaitu hanya 50 gram. Gula ada banyak kalori tetapi tidak
mengandungi khasiat. Ia hanya menyumbang kepada masalah kegemukan.
Menurutnya badan kita mendapat tenaga daripada glukos iaitu gula
ringkas. Glukos diperolehi melalui penghadaman makanan berkanji
(karbohidarat) seperti nasi, pulut, roti, ubi (kentang, keledek dan
keladi), mi dan mi hun, pasta, semua gula yang diproses, madu serta
buah-buahan.
Malah hati juga menyimpan glukos yang dikeluarkan apabila ada
keperluan. Glukos akan menjadi tenaga selepas ia diserap daripada
aliran darah. Proses pemindahan glukos daripada darah ke dalam sel
ini dilakukan agen pengangkut yang dipanggil insulin.
“Insulin ialah hormon yang dikeluarkan oleh pankreas. Pengeluaran
insulin yang paling aktif ialah selepas makan untuk membantu
penyerapan glukos ke semua sel dengan berkesan. Kencing manis berlaku
dalam dua keadaan iaitu apabila pankreas tidak lagi mampu
mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dihasilkan tidak
dapat berfungsi sepenuhnya. Keadaan kedua dipanggil rintangan
insulin. Keadaan ini mengambil masa yang lama untuk berlaku.
“Badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin dan ini menyebabkan
pankreas bekerja lebih kuat untuk menghasilkan lebih banyak insulin
bagi mengatasi masalah ini. Namun lama kelamaan pankreas akan menjadi
lemah tetapi masih tidak mampu menghilangkan rintangan insulin dan
akibatnya paras glukos dalam darah menjadi tinggi,” katanya.
Masalahnya, kencing manis tiada tanda khusus malah tidak menunjukkan
sebarang tanda pada peringkat awal pembentukannya. Jika ada pun
hanyalah kehilangan tenaga dan pesakit terasa cepat penat yang sering
disalah anggap gejala ini disebabkan terlalu banyak kerja.
Justeru itulah ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis.
Kajian menunjukkan sebaik penyakit dikesan seseorang pesakit sudah
menghidap kencing manis sekurang-kurangnya selama lapan hingga 10
tahun.
Antara tanda lain kencing manis ialah:
Kerap buang air kecil termasuk pada waktu malam
Kerap berasa dahaga dan kebanyakan pesakit menginginkan minuman manis
Susut berat badan
Cepat penat dan tidak bermaya
Kerap alami ruam, gatal dan jangkitan kulit
Rasa gatal di kemaluan dan jangkitan vagina pada wanita
Tangan dan kaki terasa kebas
Luka atau kudis lambat sembuh
Televisyen, kencing manis dan di-ab-e-tes
“Terlalu banyak menonton televisyen juga menjadi faktor risiko
tambahan yang meningkatkan peluang menjadi obes dan mendapat kencing
manis. Tabiat suka menonton televisyen akan membuatkan seseorang
menjadi tidak aktif dan lebih buruk jika ia disertakan dengan makan
makanan ringan yang boleh menambah berat badan tanpa disedari.
“Membiarkan berat badan terus bertambah seolah-olah kita mengundang
kencing manis datang dalam hidup kita. Malah wanita yang mengalami
kencing manis ketika hamil juga perlu lebih berhati-hati dan peka
menjaga kesihatan kerana kencing manis ini boleh berulang lagi
selepas melahirkan anak terutama apabila memasuki umur 40 tahun,”
katanya.
Justeru itu, beliau menyarankan semua orang menjalani pemeriksaan
paras gula dalam darah. Antara ujian yang boleh dilakukan ialah
toleran glukos oral. Untuk menjalani ujian ini kita dikehendaki
berpuasa pada waktu malam (selama lapan hingga 12 jam).
Pada waktu pagi kita akan diberi air minuman glukos dan tahap gula
dalam darah diukur dua jam selepas itu. Jika tahap gula anda tinggi,
maka anda berisiko untuk mendapat kencing manis dan perlu lakukan
sesuatu terutama mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan untuk
mencegahnya.
Kencing manis adalah penyakit yang sangat mahal untuk dirawat. Pada
2002, Amerika Syarikat membelanjakan kira-kira RM435 bilion untuk
rawatan kencing manis dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM633
bilion menjelang 2020. Rawatan untuk obesiti saja melebihi RM330
bilion setahun.
Dr Faridah berkata, pesakit masih boleh makan apa yang diingini
tetapi dalam kuantiti yang kecil dengan melebihkan pengambilan sayur-
sayuran dan buah-buahan. Begitu juga sayur-sayuran berkanji seperti
kentang, keledek, ubi kayu dan labu, jika sudah makan nasi, jangan
lagi makan makanan yang mengandungi kanji termasuklah yang dijadikan
kerepek.
Untuk sajian utama, pilih makanan yang mengandungi mil penuh seperti
nasi beras perang, roti, pasta atau mi hun diperbuat daripada tepung
mil penuh; bersama ikan atau daging tanpa lemak untuk dua hingga tiga
kali seminggu.
“Isi separuh pinggan dengan sayur, satu perempat untuk nasi dan
bakinya untuk lauk. Cara begini akan mengurangkan tekanan kepada
badan yang secara tidak langsung mengurangkan risiko mendapat kencing
manis.
“Untuk pencuci mulut, ambillah buah-buahan segar dan kongsi makan
bersama keluarga. Elakkan minum jus buah terutama jika makan di
restoran kerana ia mungkin ditambah gula. Selain itu paling utama
jangan minum minuman segera berpaket seperti kopi atau teh 3-dalam-1
yang banyak kandungan gulanya.
“Elakkan krimer kerana ia dibuat daripada sirap glukos. Jika mahu teh
tarik pun boleh tetapi hadkan kepada seminggu sekali. Semua langkah
ini secara perlahan-lahan boleh membantu anda menguruskan penyakit
dan mengurangkan berat badan. Pengurangan berat badan sebanyak lima
hingga 10 peratus boleh menurunkan risiko kencing manis sebanyak 58
peratus,” katanya.
Eksekutif Chef, Rezuan Sulaiman dalam demonstrasi masakan untuk
pesakit kencing manis berkata, keluarga dan pesakit perlu bijak
mengubah suai resipi bagi menyediakan sajian sihat contohnya
menggunakan bahan-bahan berkhasiat seperti yogurt untuk menggantikan
santan dan pes kurma bagi pengganti gula.
Sebagai contoh, selain menumis sayur yang menggunakan minyak, dia
menyarankan supaya sayur berkenaan dicelur dulu dan sos atau kuahnya
dimasak berasingan tanpa menggunakan minyak. Paling penting ialah
makan makanan yang dimasak di rumah kerana anda boleh mengawal
penggunaan bahan-bahan mengikut keperluan.
Untuk permulaan anda boleh mencuba resipi sihat yang sudah diuji dan
diluluskan pakar pemakanan seperti Sup Tauhu Lembut, Rendang Ayam dan
Sayur Campur Bersos.
Senaman dan ubat
Perunding Perubatan Rehabiliasi, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir,
berkata selain penjagaan makanan senaman adalah ubat paling mujarab
untuk mengawal penyakit jika dijadikan rutin harian. Bagi pesakit
kencing manis senaman boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap
insulin.
Peningkatan ini akan membuatkan lebih banyak gula diangkut masuk ke
sel dan mengurangkan paras gula dalam darah. Senaman yang dilakukan
secara teratur dan berterusan akan memudahkan pengurusan penyakit dan
mengembalikan paras gula ke julat normal.
“Semua orang tahu senaman boleh mengurangkan risiko banyak penyakit
seperti sakit jantung, strok, masalah kolesterol, memperbaiki emosi
dan kesihatan secara keseluruhan. Semua orang boleh bersenam tetapi
untuk pesakit kencing manis, perlu ketahui tahap gula dalam darah
terlebih dulu untuk mengelakkan masalah lain seperti pitam jika paras
gula terlalu rendah.
“Bagi yang tidak pernah bersenam, mulakan dengan sesi pendek selama
10 minit yang diulang tiga kali dalam satu hari. Apabila sudah biasa,
tambahkan masa dan aktiviti untuk meningkatkan stamina. Jika
diamalkan berterusan pesakit boleh melihat kesannya.
“Bagaimana hendak mengetahui sama ada senaman anda cukup atau tidak?
Caranya ialah melalui ujian bercakap; jika anda boleh bercakap macam
biasa bermakna senaman tidak mencukupi sebaliknya sekiranya anda
tidak boleh bercakap langsung tandanya anda terlebih bersenam.
Senaman mencukupi bila anda terasa penat tetapi masih boleh
bercakap,” katanya.
Pesakit kencing manis lebih berisiko mendapat penyakit jantung (50
peratus lebih tinggi berbanding bukan pesakit). Justeru itu ada
banyak jenis ubat dicipta khusus untuk mengurangkan masalah kesihatan
ini termasuklah fenofibrate yang dikatakan berkesan dalam pengurusan
tahap lipid (lemak).
Kajian Selaan Fenofibrate dan Mengurangkan Kejadian Dalam Kencing
Manis (FIELD ) membuktikan terapi yang merendahkan lipid untuk jangka
panjang boleh mengurangkan akibat makrovaskular (salur darah besar)
dan mikrovaskular (salur darah halus) pada pesakit.
Walaupun kencing manis boleh menjadi `pencetus’ kepada pelbagai
masalah kesihatan lain tetapi melalui penjagaan teliti pesakit mampu
menjalani kehidupan yang baik. Perkataan diabetes itu sendiri boleh
menjadi peringatan kepada kita iaitu:
Di – diet (pemakanan)
Ab – Saiz abdomen (perlu kekalkan saiz pinggang kurang daripada 90
sentimeter untuk lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan)
E – senaman ; sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga kali seminggu
Tes – Buat ujian paras gula dalam darah secara berkala.
Difailkan dalam: Kesihatan


