SOALAN:
Saya selalu bertanya dalam diri, benarkah al-Quran belum hilang fungsinya seperti kenyataan jawapan tuan baru-baru ini. Dalam realiti kehidupan banyak ajarannya ditinggalkan oleh umat Islam.
Saya selalu bertanya dalam diri, benarkah al-Quran belum hilang fungsinya seperti kenyataan jawapan tuan baru-baru ini. Dalam realiti kehidupan banyak ajarannya ditinggalkan oleh umat Islam.
– Anak Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Jawapan:
Terima kasih kerana mengikuti tulisan saya (Mingguan Malaysia 2.11.2008). Kita mesti percaya bahawa al-Quran masih tetap berfungsi dalam hidup mereka yang beriman dengannya. Justeru pada hakikatnya al-Quran tetap tidak berubah. Kitab itu menjadi petunjuk hanya untuk mereka yang bertakwa (al-Baqarah: 2). Apa yang berubah adalah kaum muslimin yang semakin longgar mempercayai dan menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Terima kasih kerana mengikuti tulisan saya (Mingguan Malaysia 2.11.2008). Kita mesti percaya bahawa al-Quran masih tetap berfungsi dalam hidup mereka yang beriman dengannya. Justeru pada hakikatnya al-Quran tetap tidak berubah. Kitab itu menjadi petunjuk hanya untuk mereka yang bertakwa (al-Baqarah: 2). Apa yang berubah adalah kaum muslimin yang semakin longgar mempercayai dan menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Jika umat Islam terdahulu amat rapat interaksi mereka dengan al-Quran, muslim masa kini semakin longgar interaksinya. Umat islam dahulu amat percaya dan yakin akan kepentingan al-Quran dalam menentukan kebahagiaan hidup. Umat Islam kini lebih percaya kebendaan dan material akan menjamin kehidupan. Tetapi ternyata mereka yang disaluti tubuh badan dengan kebendaan yang berlonggok, akhirnya banyak mengalami musibah dalam hidup seperti perceraian dalam rumah tangga, anak lari dari rumah, peseteruan dengan jiran dan kawan. Mereka berebut apa yang mereka pun tidak tahu, apa sebenarnya motif dan matlamat mereka berebut-rebut itu.
Al-Quran menjelaskan hukum halal dan haram, dosa dan pahala, dan manusia yang lupa akan al-Quran mereka tidak boleh membezakan lagi yang mana halal dan yang mana haram, kesemua mahu dicekupnya. Ada pula fatwa kedai kopi, yang menggalakkan orang ambil sahaja segala pemberian tidak kira rasuah atau tidak, asal sahaja masuk kocek dikiranya halal. Ada fulus, lulus. Oleh sebab terlupa dosa dan pahala, kes khalwat para artis menjadi-jadi dan jadi hidangan berita, ada perkahwinan walaupun masih dalam edah suami lama, kes bunuh dan rompak, perjudian dan kutuk-mengutuk, malah SMS berlegar fitnah memfitnah, sudah menjadi perkara biasa. Seolah-olah dosa sudah hilang dalam kamus hidup mereka semua. Apabila Perdana Menteri memperingatkan perkara ini, ia sudah menjadi perkara yang serius. Bangsa kita sudah terkena penyakit sosial yang kronik. Barah makin membesar.
Kenapa saya katakan al-Quran masih berfungsi dan relevan?
Sejak beribu tahun, manusia percaya “masa” itu tetap tidak berubah. Hanya sekitar 200 tahun baru ditemui ahli sains bahawa “masa” itu berubah dan relatif. Pada hal al-Quran sudah lama menceritakan “masa” itu relatif. Satu hari akhirat bersamaan 1,000 tahun masa dunia (al-Sajdah: 5), malah sama dengan kadar 50,000 tahun (al-Ma’arij: 4). Demikian bagi mereka yang insaf, mereka tidak akan sanggup untuk melakukan kejahatan dan maksiat sementara di dunia, sedangkan balasan di akhirat jauh lebih lama dengan keseronokan segera itu. Ayat ini pun boleh menjadi relevan bagi mereka yang ada akal untuk berfikir. Ternyata ayat-ayat al-Quran mengajar untuk hidup bahagia, bukan untuk mati selesa sahaja.
meluas
Jika teori The Big Bang diterima pada hari ini, al-Quran sudah lama menjelaskan Allah menjadikan alam ini sentiasa meluas berkembang (al-Dzariyat: 47), di mana Allah dengan kudrat-Nya mencipta alam, yang sentiasa terus berkembang meluas. Malah bagi mengira sesuatu perjalanan yang jauh, tidak lagi dapat dikira dengan kilometer atau perbatuan malah mengiranya dengan perjalanan cahaya, perkara seumpama ini sudah lama dijelaskan al-Quran bahawa jarak terlalu jauh itu diberikan dengan perkata “amadan ba’idan” (Alimran: 30). Kesemua ini menggambarkan banyak lagi analisis boleh dibuat terhadap kenyataan al-Quran yang hanya baru ditemui pada abad-abad terakhir ini.
Sesuatu yang amat nyata dalam al-Quran, sejauh mana kebijaksanaan dan kecerdasan manusia mereka tidak akan tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Perkara itu termasuk dalam perkara ghaib. Bolehkah kita sendiri menentukan siapa akan jadi siapa? Tanah kubur kita di mana? Malah ada perkara yang akan berlaku sebulan dua lagi pun kita tidak tahu. Kesemuanya dalam ilmu Allah belaka. Hanya, kita boleh merancang, takdir Allah jua akan menentukan. Kita hanya menjadi pak nujum, kalau kebetulan dengan ramalan itu tepat, jadilah nujum Pak Belalang.
Jika masa depan kita semua dalam ilmu Allah, berusahalah sebaiknya. Jika berjaya, bersyukurlah dan beristighfar, demikian ingatan al-Quran. Jika gagal bersabarlah, itu juga ingatan al-Quran. Ada kemenangan pada zahir, sebenarnya kekalahan pada hakikatnya. Sebaliknya ada kekalahan pada zahir, hakikatnya itulah satu kemenangan. Justeru itu al- Quran memperingatkan kita: Boleh jadi kamu tidak suka sesuatu perkara, itu adalah yang baik bagi kamu.. Sebaliknya ada perkara yang kamu suka, mungkin itu yang buruk bagi kamu. Justeru itu berhati-hatilah dalam hidup ini, bukan hanya sewaktu atas jalan raya, tetapi atas jalan kehidupan dan perjuangan.
Jika cuaca dapat dibaca dengan tepat, gelombang ombak lautan diketahui degan jitu, maka tidak ramai mereka yang terkena musibah tsunami, banjir besar, atau kemarau panjang. Orang ramai boleh bersiap sedia. Tetapi kadangkala bacaan cuaca tidak tepat dan kita alpa menghadapi amaran banjir dan gempa bumi, maka ia memakan korban yang banyak dan di luar dugaan.
Pada hari ini pelbagai tsunami dalam kehidupan, dari thunami politik kepada tsunami ekonomi dan sosial. Dalam rumah tangga tidak terlepas daripada krisis. Kesemua itu hasil kealpaan kita semua secara fizikal dan kerohanian. Al-Quran mengajar kita semua supaya menguatkan kerohanian masing-masing pada zaman kebendaan ini. Lebih diperlukan nanti ketika dajal sudah tiba ke muka bumi ini. Ia akan menipu sesiapa sahaja dan wanita akan menjadi mangsa terbesar mereka. Siapakah dajal yang disebut dalam surah al-Kahfi itu? Siapa pula Yakjuj dan Makjuj dalam al-Quran itu? Malah siapa pula memiliki ciri-ciri seorang “hamba soleh wali Allah” atau kekasih Tuhan itu. Ini pun satu perkara basis yang sudah mula dilupakan umat Islam dewasa ini.
Bukan al-Quran yang tidak relevan, tetapi kita semakin membelakangkannya. Lalu al-Quran menempelak. Apakah hati mereka sudah tertutup? Apakah mereka tidak berakal?
Membaca al-Quran secara teliti dan mendalam, mengarah kita kepada suatu metode yang ilmiah, mempercayai ia adalah wahyu yang mukjizatnya tinggi. Malanglah bagi mereka yang memiliki al-Quran tetapi tidak mendalami maknanya. Sama juga seorang yang ada perbendaharaan harta yang banyak tetapi tidak mengguna pakai manfaatnya. Itukah tanda kebodohan dan kejahilan yang amat sangat. Kita layakkah lagi memikul title sebagai “Kamu sebaik- baik umat yang dilahirkan bagi manusia untuk mengajak mereka ke arah kebaikan dan melarang keburukan” jika kita sendiri sudah hilang kebaikan dan kebijaksanaan.
Wahai umat Muhammad, kebaikan itu berasaskan akal yang siuman dan syarak yang menetapkan, bukan kebaikan menurut hawa nafsu. Kemungkaran akan hilang dengan adanya kebenaran. Umat Islam wajib memiliki kekuatan ilmiah; sains dan teknologi, ekonomi dan kerohanian yang tinggi, jika mereka tidak mahu menjadi buih yang akan ditiup angin bila-bila masa sahaja. Tidak ada senjata yang lebih tajam daripada keikhlasan dan kebenaran. Kehebatan yang batil dan tidak ikhlas akan dimamah sejarah. Itulah resam dunia yang dijanjikan Allah. Wallahualam.
Difailkan dalam: Soal Jawab Agama


