Tanggungjawab Bermadu

(petikan Dang Setia-Harian Metro)

Soalan

SAYA isteri kedua dan perkahwinan kami mencecah usia lima tahun. Masalah saya ialah terpaksa menanggung suami yang tidak bekerja serta madu dan anaknya.
Kalau setakat sara suami dan anak saya mampu lagi, tapi apabila wang saya juga digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga madu, akhirnya saya sendiri yang selalu kekurangan wang.

Suami saya hampir tujuh tahun tidak bersama isteri tua. Dia cuma beri duit belanja. Saya hairan kenapa suami tidak ceraikan saja isteri tua kerana dia sudah tiada hati untuk bersamanya. Saya yang menanggung bebannya.

Saya banyak membantu suami daripada sudut kewangan, tapi suami tak pernah ambil peduli. Kadangkala saya rasa menyesal berkahwin dengannya tapi demi anak, saya bertahan. Bagaimana saya nak atasi masalah ini?

drpd: SITI

Jawapan

Jelas, punca masalah puan ialah sikap suami yang gagal menjalankan tanggungjawabnya. Masalah puan hanya boleh diatasi jika suami berubah sikap, namun sama ada itu mampu menjadi realiti atau tidak, itulah persoalannya.

Terus terang, Dang Setia tiada jawapan mutlak kepada persoalan itu. Maklumlah, nak mengubah sikap orang bukan mudah.

Jika orang sekeliling berusaha sehingga 110 peratus sekali pun, namun jika yang empunya diri langsung tiada niat serta usaha untuk berubah, keadaan akan kekal di takuk lama.

Bagaimanapun, Dang Setia tidak bermaksud menyuruh puan mengalah atau berserah kepada takdir semata-mata. Sebagai isteri, menjadi kewajipan isteri untuk membantu atau memberi sokongan kepada suami ke arah kebaikan.

Sebagai isteri juga, pasti puan lebih mengenali diri suami untuk bertindak secara bijak dan berhemah serta menggunakan pendekatan terbaik bagi menyedarkannya akan kesilapannya.

Asas pentingnya di sini ialah suami puan perlu sedar selama ini dia berdosa kepada Allah kerana gagal memberi nafkan kepada dua isteri serta tanggungannya.

Cabaran yang puan hadapi memang getir, namun nasihat Dang Setia, selagi puan mampu bertahan, bertahanlah. Memang bebannya di dunia sangat berat namun percayalah, semua itu bukan sia-sia.

Ini kerana, jika puan ikhlas membantu suami serta madu, itu semua diambil kira oleh Allah dan insya-Allah ada balasan baik untuk puan di akhirat.

Namun jika sampai ke tahap tidak mampu bertahan lagi, tidak salah untuk meminta suami melepaskan puan dengan cara baik.

Malah, jika puan merujuk masalah ke pejabat agama, diyakini puan mempunyai asas kukuh untuk membuat tuntutan fasakh kerana suami tidak bekerja untuk tempoh lama.

Dang Setia menyuarakan pandangan ini kerana berpendirian setiap manusia, termasuk wanita bergelar isteri, berhak menentukan masa depannya yang lebih positif dan bukan sekadar hidup menderita sepanjang hayat akibat tindakan suami yang tidak bertanggungjawab.

Lagipun, satu daripada matlamat perkahwinan bagi seorang wanita ialah mengecap kebahagiaan dan menerima perlindungan daripada suami.

Jika itu gagal diperoleh, tidak salah untuk menamatkan ikatan yang dimeterai dan mencari pasangan hidup lain yang mampu memberi kehidupan lebih bermakna.

Tinggalkan jawapan