Oleh Dr Sapora Sipon
SAYA bertemu kekasih melalui Internet secara tidak sengaja. Sikapnya yang selalu mengambil berat menyebabkan saya memilih dia menjadi teman istimewa saya.
Secara jujur, ramai lelaki ingin menjadikan saya teman istimewa kerana saya dikategorikan gadis yang cantik. Bukanlah saya nak memuji diri sendiri cuma, ramai yang berkata saya cantik.
Walaupun ramai lelaki meminati saya, kekasih saya satu-satunya lelaki yang memikat hati saya.
Kekasih saya tua lebih 5 tahun daripada saya. Saya berusia 23 tahun. Saat-saat indah bercinta saya diganggu oleh pengakuan dirinya yang mengatakan dia seorang suami dan bapa kepada dua anak. Ini menyebabkan saya amat sedih.
Masalahnya, saya amat sukar melupakannya walaupun tahu kekasih saya itu suami orang. Apatah lagi dia mengatakan keinginannya memperisterikan saya. Bolehlah saya katakan, dia telah melamar saya beberapa kali.
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menganggu kebahagiaan rumah tangga wanita lain. Ibu saya adalah isteri pertama bapa saya.
Bapa mempunyai seorang isteri lain dan bapa lebih menyayangi isteri keduanya itu daripada ibu saya. Saya rasakan ini amat tidak adil.
Walaupun ibu cuba menyembunyikan perasaannya, saya tahu peritnya perasaan ibu. Ini kerana saya selalu juga melihat ibu menangis bersendirian.
Pengalaman pahit ibu itu membuatkan saya bertekad untuk tidak berkawan apatah lagi mengambil suami orang.
Malangnya Dr, saya terperangkap dengan keadaan yang saya tidak ingini ini. Saya memohon Dr membantu saya.
Mahani
Kodiang, Kedah
—————————
JATUH cinta dan mencintai adalah fitrah dalam kehidupan setiap insan. Begitu juga fitrah untuk hidup secara berpasangan. Apatah lagi apabila menemui orang yang dirasakan dapat membahagiakan diri.
Cinta yang berputik dari ruang siber juga menjadi semakin lumrah kerana proses kesejagatan teknologi maklumat berlaku. Kini amat mudah bagi kita untuk mengenali insan lain melalui alam siber seperti Internet dan blog.
Bagi diri adik, cinta yang berputik dari dunia siber kini menjadi cinta yang menuntut adik untuk membuat keputusan penting dalam hidup adik. Ia mewujudkan konflik yang ingin adik leraikan.
Dr amat memahami konflik adik. Tetapi bak kata orang “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Adik kini terperangkap di antara perasaan sayangkan kekasih tetapi pada waktu yang sama tidak mahu menganggu kebahagiaan wanita lain. Pengalaman ibu adik bermadu menyebabkan adik merasa lebih tertekan dengan masalah adik ini.
Niat suci kekasih adik untuk menjadikan adik isteri keduanya menunjukkan kekasih adik itu memang sayangkan adik. Jelasnya, kekasih adik itu tidak mempermainkan-mainkan perasaan dan diri adik.
Adik, Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam kehidupan berpasangan.
Berasaskan kepada keadaan inilah, Islam membenarkan poligami bagi mengelak manusia melakukan perkara dilarang seperti berzina.
Namun, poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan.
Adil menyentuh soal seperti giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan, minum, pakaian, jaminan, keselamatan dan tempat tinggal antara lainnya.
Masalah yang timbul pada perkahwinan ibu bapa adik ialah kegagalan bapa adik untuk berpoligami dengan penuh tanggungjawab.
Berbalik kepada masalah diri adik, adik perlu ikhlas untuk mendengar suara hati dan kemampuan diri adik sendiri. Adakah suara hati adik betul-betul bersedia untuk bermadu?
Benarkan adik sudah benar-benar mampu untuk mengharungi rumah tangga dengan berkongsi suami dari aspek emosi, rohani, fizikal dan minda untuk berkongsi suami?
Jawapannya di tangan adik. Adiklah yang akan membuat keputusan akhirnya.
Isu poligami boleh menjadi isu yang sangat sensitif kepada kaum wanita khususnya isteri pertama yang merasakan suami adalah hak mutlak mereka.
Bolehkah adik menghormati isteri pertama suami adik nanti? Bolehkah adik berkompromi, berbaik sangka, berterus terang dan jujur terhadap diri sendiri atau kepada suami dan madu adik? Jika adik belum bersedia, adik mungkin mengalami apa yang ibu adik alami.
Jika perkahwinan antara kekasih adik dengan adik berlaku, kekasih adik perlu memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan kebahagiaan perkahwinan.
Suami penting dalam mencorakkan kehidupan dua atau tiga rumah tangga yang dibina. Isteri-isteri yang berkongsi suami pula harus bersedia menerima perkongsian itu dengan berkompromi.
Jika adik mengambil keputusan tidak menerima lamaran kekasih adik itu, adik perlu belajar secara perlahan-lahan untuk melupainya.
Ia memang sukar tetapi lambat laun adik akan belajar untuk melupai dia. Ini adalah untuk kebaikan diri adik, kekasih adik dan keluarganya.
Masa akan banyak membantu adik nanti untuk perlahan-lahan belajar melupai kekasih adik.
Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan adik belajar melupai kekasih adik itu. Dalam kehidupan ni adik, banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan.
Selain itu, berdoalah kepada Allah SWT supaya adik dapat menemui kebahagiaan dalam hidup. Doa memberi kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian kepada orang yang ketakutan.
Apapun sahaja keputusan yang adik ambil, Dr doakan kebahagiaan diri adik.
Mutiara Kata: “Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya racun. Tetapi ada kalanya lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus.
Difailkan dalam: Kaunseling Keagamaan


