KISAH UNTA MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan
menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal
semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak
ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap
Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada
kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, “Hai kaumku! Janganlah
sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan
sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek
moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku
berjanji kepada kamu sekalian, bahwa esok aku akan membawa batu ke
Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud.
Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku
kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya.
Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai.”

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang
menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, “Demi
Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga
Muhammad. Teruskan niatmu.”
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar
kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahwa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad
S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka
selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan
agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira
perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W
berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh
Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta
sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali
membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal
pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W
bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan
dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh
beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak
kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan
menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi
Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum
sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan
tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum QUraisy
akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh
nombor satu mereka.
Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya
Rasulullah S.A.W baru saja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang.
Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu
Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa
yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula
bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju
ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati,
setiap pergerakannya dijaga, takut disadari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas
bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, “Kali ini akan musnahlah
engkau hai Muhammad.”
Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan
menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia
berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah.
Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada
berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi
Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat
melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu,
rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disadari
oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang
dialaminya.
Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya
tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku.
Kawannya bertanya, “Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu
Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad
ketika dia sedang sujud tadi?”

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin keheranan.
Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato
dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba saja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang
baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan
berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W
pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada
baginda bahwa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu
Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang
dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai
soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, “Wahai sahabatku! Untuk
pengetahuan kamu semua, sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak
menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang
besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah
melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku
teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu,
sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku.”

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu,
mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak
membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata saja. Orang yang
selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan
pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong saja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati
itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan
keheranan, “Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami
memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang
engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak.”

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang
diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa
mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan
terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa
endahkan lagi.

Tinggalkan jawapan